SEJARAH AD-DAJJAL
Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya
telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi
ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w
naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata:
“Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian
berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?”
Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di
sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin
menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian
dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang
satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah
aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal.
Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah
samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga
terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di
sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati
orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga
tidak nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu
menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?”
Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini
untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan
kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap.
Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke
tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak
kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab:
“Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya:
“Siapa kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut
menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah
samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami
terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya
sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya
Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan
lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini,
sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa
dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat
besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan:
“Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di
negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar
itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka
menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut
pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.”
Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab:
“Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.”
Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan
kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia
telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia
diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh
orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan
dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah
mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung
jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada
kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu
aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku
jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya.
Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat
menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas
mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu
Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada
kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata
lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu
bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu
tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia
ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah
timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah
timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah
timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.
KHUTBAH RASULULLAH PERIHAL DAJJAL
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah
berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh
masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan)
di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal.
Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal.
Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal
itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang
sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela
bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang
menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan
mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai
manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri
Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.
“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah,
tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan.
Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati.
Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama
dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang
dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.
“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya
itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa
di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta
pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka
nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi
sejuk.
“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya
aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu,
apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata:
“Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya
sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya:
“Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”
“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia
belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan
kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan
izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu
bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang
beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.”
Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang
paling tinggi darjatnya di syurga.”
Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit
supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya
mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang
paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik
dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu
tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.
“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan
penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan
turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.
“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal
kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh
Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran
Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar
kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu
orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di
Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi
pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu,
Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman
kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak
menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu
tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya.
Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan
hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka
mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.”
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya
Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai
orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan
orang amanah tidak dipercayai.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang
paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh
malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal
(di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang
ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian
mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari
ketika itu.
Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya
seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”
Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan:
“Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis.
Melihat saya menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya
Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.”
Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih
hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah
kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul
pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada
zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun,
ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu
minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.”
Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu,
apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah
berapa jarak solat yang lima waktu itu.”
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam,
dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?”
Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu
minggu atau satu bulan.
Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada
manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka
semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan
menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.
Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal
kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh.
Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau
empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya
seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.”
Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia
menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap
dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.
Wallahu A’lam.bishowab
ConversionConversion EmoticonEmoticon